Khamis, 23 Jun 2011

D' Lorkin Brothers dan Ipoh Memory Lane

MINGGU 1

Salam Sejahtera,




                                  D' Lorkin Brothers dan rakan-rakan.


Imbasan Sejarah


Ipoh suatu masa dahulu                       - copyright dari blog seorang rakan


Memory Lane Ipoh adalah suatu tempat yang istimewa buat warga bandaraya Ipoh, Perak, Malaysia. Ia lebih dikenali sebagai 'Pasar Karat' atau 'Lorkin' bagi sebilangan besar warga ipoh dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Atas inisiatif pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Ipoh, pasar karat atau Lorkin ini diadakan disatu kawasan lorong bersebelahan pasaraya The Store Ipoh dan di belakang barisan premis-premis perniagaan di pekan Ipoh, Perak.




Stesyen Keretapi Ipoh                      -copyright dari blog seorang rakan


Asal Lorkin mendapat nama saya tidak begitu pasti, tetapi mengikut cerita seorang rakan senior saya suatu ketika dulu memberitahu, Lorkin adalah diambil sempena nama seorang peniaga berbangsa Cina yang bernama Lok Hin. Begitulah nama itu terus digunapakai sehingga sekarang.




Pekan Lama Ipoh                                              - copyright dari blog seorang rakan


Untuk warga Ipoh yang lebih senior pasti memaklumi tapak Lorkin ini telah berubah dari satu tempat ke satu tempat beberapa kali. Kalau dulunya yang saya masih ingat sekitar tahun 1985, lokasi Lorkin adalah berdekatan Sungai Kinta bersebelahan Pasaraya Parkson kalau saya tidak silap. Pada ketika itu Lorkin kurang mendapat sambutan. Antara yang yang gemar mengunjunginya adalah golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dan kebanyakan barang-barang yang dijualbeli adalah lusuh dan dari barang buangan masyarakat berdekatan.

Tidak lama selepas itu Lorkin berpindah lokasi sekali lagi. Kali ini tempatnya ialah di suatu lapangan di pinggir Sungai Kinta bersebelahan Restoran Nasmir sekarang ini. Di lokasi ini Lorkin mula mendapat sambutan. Setiap pagi Ahad berpusu-pusu orang ramai datang berkunjung dan membeli belah di Lorkin. Antara barangan yang jual adalah barang-barang antik, barangan elektrik terpakai seperti radio, pemain piring hitam, peralatan bunyi, peti TV, perkakasan kenderaan, ubat-ubatan tradisional, pakaian dan lain-lain.


Lorkin berpindah lagi sekali atas sebab-sebab tertentu. Kali ini lokasinya agak jauh dari pusat bandar Ipoh dimana lokasi barunya berdekatan dengan Stadium Perak. Saya hanya sekali pernah menginjak kaki ke sini dan selepas itu saya tidak lagi datang mengunjungi Lorkin yang agak jauh dari tempat tinggal saya. Tidak pasti berapa lama Lorkin disana. Menurut seorang kawan tempat baru di sekitar perkarangan stadium ini tidak lama dan hanya sementara sebelum Lorkin berpindah ketempat sekarang ini.


Lorkin Hari ini


Memory Lane - Singgah le, macam-macam ada..
  


Pengunjung datang membanjiri seawal pagi
kasut terpakai antara barangan yang banyak dijual


Antara barangan antik
Dari lokasi yang agak jauh dari pusat bandar, Lorkin berpindah betul-betul dipusat bandaraya Ipoh. Berapa lama lagi Lorkin akan menetap disini tidak siapa yang tahu, dan yang pasti Lorkin pasti akan berpindah lagi bagi memberi laluan kepada pembangunan dan perkembangan pesat bandaraya Ipoh dimasa-masa akan datang.

Pengunjung Lorkin hari ini terdiri dari semua lapisan masyarakat dan umur dan penuh sesak setiap minggu. Konsep perniagaan di Lorkin masih kekal menjual barang-barang lama dan antik. Tetapi tidak terkecuali juga barang-barang yang baru dan yang berteknologi moden juga terdapat dijual disini. Lorkin hari ini telah mendapat liputan luas dan menjadi salah satu tempat tarikan orang ramai disetiap hujung minggu di Bandaraya Ipoh.




D' Lorkin Brothers

Bagi pengunjung tetap Lorkin akan biasa dengan suasana riuh rendah dan kesesakan lorong membelinya.
Dihujung simpang terdapat satu suasana yang lain dari yang lain. Saya adalah pengunjung setia Lorkin dan sering mengunjungi satu sudut dimana tempat orang ramai menghiburkan diri dengan mendengar lagu-lagu irama 60an nyanyian pemuzik Lorkin.

D' Lorkin Brothers sedang beraksi
                              


Saya sempat berkenalan dengan 4 orang sahabat yang bermain muzik dan bernyanyi di Lorkin beberapa bulan yang lalu dan kini telah menjadi sahabat saya. Saya adalah pengemar muzik, apatah lagi kalau muzik itu berentak pop 60an. Saya kagum dengan permainan muzik mereka yang diklsifikasikan sungguh ringkas, bersahaja malah begitu santai.

Yang amat menarik perhatian saya ialah hanya 2 orang sahaja yang memainkan alat muzik. Seorang pemain drum dan seorang lagi pemain gitar utama. Mereka bermain muzik bukan untuk mencari wang tetapi dengan tujuan mempromosi peralatan muzik dari kedai elektrik berdekatan.

penari setia sedang beraksi
                              
Mereka bermain secara live dan tidak mempunyai peralatan audio yang serba lengkap namun boleh memberikan suatu irama yang menghiburkan. Paduan bunyi petikan gitar dan ketukan drum sungguh serasi dan patut diberi pujian. Tidak ada bayaran yang dikenakan kepada penonton. Ianya percuma dan terbuka kepada pengunjung Lorkin untuk menonton. Ada juga dari kalangan penonton yang ingin turut serta menyanyi dan menari. Atas keizinan mereka, saya berkesempatan mengambil gambar video merakam secara langsung ketika mereka membuat persembahan. Saya dikira amat bertuah kerana yang paling hampir dengan mereka untuk mengambil gambar secara close-up ketika mereka bermain muzik.



Mr Robert Low, tuan empunya JDM Sdn Bhd

Kemurahan hati tuan punya kedai elektrik Junjong Distributor and Management Sdn Bhd yang juga ada menjual alat muzik Audio Video, Mr Robert Low  membolehkan rakan-rakan saya itu membuat persembahan. Mr Low memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk bermain alat-alat muzik pameran di kedainya untuk tatapan orang ramai sebagai suatu bentuk promosi barangan.






Berkenalan dengan pemuzik D' Lorkin Brothers.


Dari asal main untuk suka-suka sekarang telah menjadi rutin aktiviti dihujung minggu. Pemain muzik Lorkin ini sebenarnya ada beberapa orang lagi yang lain. Mereka tidak selalu bermain dan kadang-kadang bermain untuk seketika sambil datang untuk membeli barang di Lorkin. Orangramai ada juga yang meminta izin untuk bermain. Ramai juga diantara mereka yang mempunyai bakat dan pengalaman bermain dan tidak kurang juga yang mahu mencuba dan mengasah bakat.

Pada saat ini, saya telah mengenali mereka dengan lebih dekat dan saya pasti akan datang ke Lorkin jika ada persembahan. Pemuzik Lorkin adalah terdiri dari pemain drum, abang Mazlan, pemain gitar utama, En Salam, Abang Salleh selaku juru kordinasi, dan juga Pak Din penyanyi utama. Mereka begitu ramah dan sungguh mesra bila berbicara. Saya mengambil kesempatan mendekatkan diri dengan mereka dan sering saja membincangkan perihal hobi bermuzik.



 
Bro Salam - Lead Guitarist


Bro Mazlan - Drummer

Dengan inisiatif saya sendiri, dalam video saya yang pertama, saya namakan kumpulan mereka dengan nama D' Lorkin Band. Tetapi setelah berbincang dengan Abang Lan pemain drum, dia mengesyorkan nama itu ditukar kepada  'D' Lorkin Brothers'. Sungguh sesuai sekali nama itu saya kira.


                                                                                         Bro Salleh - Coordinator

D' Lorkin Brothers akan membuat persembahan setiap pagi ahad bermula jam 10.00 pagi jika tiada apa-apa halangan. Kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan adalah lagu-lagu irama Tahun 60an. Konsep lagu lama dikira amat sesuai dengan Memory Lane yang menjual barang-barang lama.

Sejak saya begitu aktif merakam video pemuzik Lorkin ini, orang ramai mula menunjuk minat untuk memberi sokongan kepada mereka.

Setiap minggu orang ramai akan berkumpul untuk menonton persembahan mereka. Banyak juga dari kalangan penonton yang meminta untuk bernyanyi dan menari serta  mendendangkan lagu pilihan mereka. Berbetulan D' Lorkin Brothers kekurangan penyanyi maka perkembangan begitu amat-amat dialu-alukan.



 Penyanyi Kak Zah dan penari undangan yang memeriahkan lagi suasana
                          

                                                          
D' Lorkin Brothers hanya ada seorang penyanyi tetap iaitu, Pak Din yang sinonim dengan lagu-lagu 60an kegemarannya. Setiap minggu Pak Din akan datang ke Lorkin untuk menghidupkan persembahan D' Lorkin Brothers.

Pak Din - Vokalist tetap







Saya akan mengemas kini blog ini setiap minggu dan anda akan mendapat cerita-cerita yang terbaru mengenai Lorkin and D' Lorkin Brothers.
Jika anda berminat dengan aktiviti santai dihujung minggu begini, datanglah beramai-ramai ke Lorkin dan sambil menghiburkan hati dengan mendengar lagu-lagu dari pemuzik D' Lorkin Brothers.

Juga sekiranya anda ada apa-apa pertanyaan atau ingin turut serta menyumbangkan lagu-lagu kegemaran anda, sila hubungi:

HP : 012-590 8561 (Rahman)
      : 017-487 2948 (Salam)
      : 019-503 7609 (Mazlan)
      : 019-435 8155  (Salleh)


Sekian untuk kali ini. Jumpa Lagi. 
Selamat Maju Jaya.
Rahman Ahmad
mancadd@yahoo.com



Segala apa yang saya tulis ini adalah dari pengetahuan saya dan beberapa orang rakan yang lain, selain itu adalah dari pemerhatian dan pengalaman saya sendiri. Jika sekiranya terdapat kesalahan fakta atau apa-apa kesilapan yang tidak disengajakan yang terdapat didalam artikel ini harap anda sudi untuk memperbetulkan saya dan saya memohon ribuan maaf.
Terima Kasih.






Tiada ulasan: