Selasa, 10 Januari 2012

D' Lorkin Brothers - Kami Hanya Seniman Jalanan

Salam Sejahtera 1 Malaysia.

Kami hanya seniman jalanan, itulah nilai-taraf persembahan kami buat masa ini. Saya dan juga rakan-rakan yang lain merasa selesa walaupun dapat berpeluang menjadi pemuzik jalanan. Kami tidak mengganggu orang. Kami mahu berhibur disamping menghiburkan orang-orang yang datang berkunjung ke Lorkin. Walaupun bermain di kaki lima premis perniagaan tapi kami tidak meminta apa-apa dari pengunjung melainkan berharap semoga mereka terhibur.




Persembahan dari penyanyi tinggi lampai dan bersuara lantang JG Din menyanyikan lagu diringi ketukan drum dari rakan baru lokin Sdr Azrul.




Keistimewaan bermain muzik di Pasar Lorkin ialah kita bermain secara santai dan dapat berinteraksi dengan penonton. Hari ini peminat yang datang menyaksikan persembahan kami adalah terdiri dari berbagai kaum dan peringkat umur. Walaupun jumlah mereka tidak sebanyak mana dan jauh jika dibandingkan dengan persembahan kugiran-kugiran yang lain, tetapi memadai buat kami. Sambutan peminatlah yang menyebabkan kami terus bermain muzik walaupun terpaksa mengeluarkan modal sendiri dan tidak mendapat apa-apa bayaran dari penonton.




Persembahan dari penyanyi jemputan dibawa khas dari Kuala Kangsar M. Kamil



Ada diantara penonton yang budiman membelikan kami minuman buat pembasah tekak dan ada juga yang menghulurkan sejumlah wang saguhati kepada kami, terima kasih diucapkan. Kami juga ada mendapat tempahan untuk bermain dimajlis rumah kenduri kahwin, tetapi terpaksa ditolak buat masa ini disebabkan kami belum betul-betul bersedia untuk melakukannya. Nampak seperti mudah untuk menubuhkan sebuah band yang mantap, tetapi banyak perkara yang perlu difikirkan. Umpamanya seperti kelengkapan peralatan muzik, pembesar suara, tempat membuat latihan, mendapatkan penyanyi yang betul-betul komited untuk bernyanyi, pemilihan lagu-lagu yang bersesuaian sehinggakan kepada soal menjaga hati setiap anggota kumpulan. Begitu juga kesedaran penjagaan kesihatan setiap ahli kumpulan. Pendapat peribadi saya, semua itu penting jikalau mahu sesebuah band itu terus kekal bertahan lama.





Dendangan suara lemak merdu dari Pn Zaleha.





Kepada anda-anda yang baru mengenali kami, kami ingin memberitahu bahawa persembahan kami tidaklah semantap yang diharapkan olehkerana beberapa sebab yang telah saya nyatakan terdahulu seperti kekurangan peralatan muzik, ketiadaan tempat berlatih dan sebagainya. Anggaplah kami buat masa ini penghibur ditepi jalan yang memberi hiburan secara santai dan tidak membandingkan kami dengan pemuzik-pemuzik lain yang telah pon berjaya dipersada seni. Mereka dulu ada juga seperti kami.




Hari ini seorang pemuzik otai memberi khidmat bermain lead gitar menggantikan sementara sifu Salam



"Kami Hanya Sebuah Band Seniman Jalanan".

Kepada anda yang mahu mencuba bakat menyanyi sila datang berjumpa kami di Lokin Ipoh, Perak setiap pagi Ahad.

Kebetulan kami mahu mencari penyanyi wanita yang tetap, kepada yang berminat sila hubungi saya untuk keterangan lanjut sementara kekosongan masih ada.



Anggota tetap Band D' Lorkin Brothers:
A Salam = Lead Gitar (Group Leader)
Mazlan = Drum
Rahman = Bass
Salleh = Conga dan tamborine
Ismail = DJ-Vokalist


Salam dan selamat berhibur.

Admin
Rahman.

Tiada ulasan: